1.
Angin bertiup
kencang sesekali membuatkan rambut Yasmien yang ikal dan lurus itu
menggerbang. Dia merenung kolam ikan
yang dikelilingi batu-batu kecil itu sambil tersenyum meleret. Raut wajahnya
tampak tenang meskipun tiada siapa yang tahu apa yang tersembunyi di dalam hati
kecilnya.
“Assalamualaikum…”sapa
Fikri dari arah belakang. Yasmien menoleh. Bibirnya menguntumkan senyuman
manis. Fikri membalas sambil tangannya mengusap pipi Yasmien. Yasmien kelihatan
sayu menerima usapan dari suaminya yang amat disayangi.
“Jantung hati abang
ni termenung di sini ye? Patutlah merata
abang cari dalam rumah tadi tapi tak jumpa.”Suaminya cuba meneka isi hati
Yasmien.
“Tak ada lah abang.
Min tak termenung pun.” Jawab Yasmien ringkas cuba berselindung. Dia juga cuba
untuk kembali senyum biarpun senyumannya itu kelihatan kelat. Fikri mula
merapati isterinya.
“Abang?” Yasmien
seolah-olah tidak gemar dengan tindakan suaminya. Baginya kawasan itu terlalu umum bagi mereka berdua melakukan
apa-apa biarpun sudah berkhahwin. Fikri faham maksud isterinya.
“Apa yang Min
fikirkan? Sudahlah sayang. Jangan difikirkan sangat benda-benda remeh ni.
Okay?” Fikri sekali lagi cuba meneka dan kali ini dia cuba menasihati isterinya
agar tidak terus-menerus memikirkan masalah yang sudah sekian lama menghuni
dalam jiwa mereka.
Yasmien terdiam.
Matanya memandang ke bawah. Sesekali terdengar dia menarik nafas panjang.
Ternyata benar fikirannya sedang memikirkan banyak perkara. Kadangkala dia
sendiri sukar mentafsirkan apa yang sedang dia difikirkan.
Yasmien hanya
mengangguk sambil tersenyum. Senyumannya kini dapat memuaskan hati Fikri yang
tadinya berada di dalam dilema. Kemudian mereka sama-sama tersenyum. Beberapa
saat kemudian Fikri memeluk tubuh Yasmien dengan penuh kasih sayang.
Kuala Lumpur hujan
dengan lebat sekali petang itu. Jalan raya dipenuhi dengan kenderaan yang
menyesakkan jalan bagi mereka yang mahu pulang dari pejabat. Puan Zaharah
menelefon anak tunggalnya, Fikri untuk mengetahui di mana anaknya berada.
Begitulah hati seorang ibu.
“Hello!
Assalamualaikum, mama.” Jawab Fikri di corong
telefon.
“Waalaikumsalam.
Fiq dekat mana ni? Mama dalam perjalanan
ke Cheras sekarang,” jawab Puan Zaharah kepada anaknya yang selesa dipanggil
Fiq. Pn Zaharah kelihatan agak kelam kabut ketika bercakap dengan anaknya.
“Fiq nak balik ni Ma. Jalan sesakla. Ada perkara
apa yang mama nak bincangkan tu?” Fikri meneruskan sahaja hajatnya dengan
berterus-terang bertanya hal penting yang diperkatakan ibunya beberapa hari
lalu.
“Tak apa. Mama
sampai nanti kita bincang. Okay jumpa nanti, bye!” Dengan segera Puan Zaharah
mematikan telefon bimbitnya. Jalan yang sesak menyukarkan dia untuk terus
berbual dengan anaknya.
Fikri yang masih
dalam talian agak terkejut. Belum sempat dia membalas apa-apa ibunya sudah
mematikan telefon. Namun dia masak benar dengan sikap ibunya yang tegas serta
mempunyai pendiriannya tersendiri.
Kereta Inspira
berwarna putih milik Puan Zaharah sudah pun memasuki ke perkarangan rumah
anaknya. Kelihatan Yasmien sudah tercegat di hadapan pintu menunggu kedatangan
mentuanya.
“Assalamualaikum,
Mama.” Yasmien memberi salam sambil mengucup tangan Puan Zaharah.
“Min apa khabar? Sihat ke?” Soal Puan Zaharah
setelah menjawab salam menantunya. Yasmien tersenyum pahit.
“Sihat sahaja Mama.
Mama pula apa khabar, sihat?” Pertanyaan Puan Zaharah dibalas dengan pertanyaan
juga. Puan Zaharah sedikit mengeluh.
“Huh…Mama ni sihat
ke tak sihat tak kisah. Min tu, kalau asyik sihat je bila Mama boleh dengar
berita gembira?” Puan Zaharah sekali lagi menyoal. Keluhan kesal kedengaran.
Soalan yang
diajukan itu membuatkan Yasmien tersentak. Mukanya yang putih itu kelihatan
merah padam. Yasmien terdiam. Perkara inilah yang cuba Yasmien elakkan
untuk berbincang terutama dengan ibu
mentuanya.
Yasmien sememangnya
malu dengan kenyataan yang harus diterimanya. Mandul! Ya itu lah perkataan yang
sesuai bagi menggambarkan keadaan kesihatan dirinya sejak lima tahun mendirikan
rumah tangga. Siapa yang tidak mengimpikan zuriat dari keturunannya sendiri?
Semua orang mahukannya. Namun, Tuhan masih belum mengurniakan rezeki buat dia
dan Fikri. Yasmien pasrah. Dia sedar dia tidak mampu menjawab permainan
kata-kata ibu mentuanya itu. Dia hanya mampu diam seribu bahasa. Tiada sebarang
pernyataan yang mampu dikeluarkannya buat masa sekarang.
“Fiq dah balik?”
Puan Zaharah tiba-tiba menukar topik setelah sekian lama menyedari menantunya
berdiam diri. Yasmien sekadar menggelengkan kepala. Pertanyaan tadi sudah cukup
membuatkan dia kehilangan ayat untuk berkata-kata. Yasmien sudah mula mengagak
bahawa kedatangan mentuanya tidak lain tidak bukan mahu membincangkan soal
perkara ini. Dia berasa bagai disindir.
“Mama, Min pergi
dapur dulu nak siapkan minum petang.” Yasmien kemudiannya berlalu pergi
meninggalkan Puan Zaharah di ruang tamu. Tiba-tiba kedengaran bunyi hon kereta
dari arah luar.
“Tak apa, biar Mama
bukakan pagar!” Puan Zaharah meninggikan suara setelah melihat Yasmien seperti
bergegas mahu keluar dari dapur. Puan Zaharah menyambut Fikri di muka pintu.
Fikri bersalam sambil mengucup tangan ibunya dengan penuh kasih sayang.
2.
Malam itu setelah
selesai solat maghrib, Yasmien berehat-rehat di anjung rumah sambil memandang
ke dada langit. Timbul sedikit keresahan dalam dirinya. Segala perkara yang
dibincangkan oleh ibu mentuanya tadi cukup menjadikan Yasmien tidak keruan.
Masih terimbas di kotak fikirannya peristiwa yang terjadi petang tadi.
“Sekarang pilihan
terletak di tangan kamu berdua. Sama ada Kamu Yasmien berikan Mama cucu atau
Fiq bernikah dengan gadis pilihan Mama sendiri!” Suara tegas dan keras Puan
Zaharah seakan bergema di seluruh ruang dapur itu. Kolam air mata Yasmien kini
mula melimpah. Dia tidak dapat menahan sebak mendengar kata dua mentuanya itu.
“Mama! Tapi ini
soal rezeki. Kami tak boleh buat apa-apa sekiranya Allah masih tak berikan
zuriat untuk kami!” Fikri cuba bertegas mempertahankan maruah isterinya yang
kini menjadi taruhan.
“Ya! Mama tahu.
Sebab tu mama bagi tempoh enam bulan. Cubalah apa cara sekali pun asalkan bini
kamu tu mengandung!” Suara Puan Zaharah masih tidak mahu mengalah. Airmata
Yasmien kini menghujani pipinya tanpa dapat diseka lagi.
“Mama...!” Fikri
ingin meluahkan sesuatu, tetapi Puan Zaharah pantas menjegilkan matanya yang
bulat itu tepat ke muka anak bongsunya. Fikri tahu dia tidak mampu membantah
berlebihan kerana dia faham sikap tegas ibunya.
“Sayang!”
Yasmien tersentak
daripada lamunan. Kini dia sedar suaminya berada di belakang kerusi. Fikri
dapat melihat mata Yasmien yang sedikit lebam tatkala mata mereka bertentangan.
“Abang nak mintak
maaf atas apa yang berlaku tadi, sayang.” Fikri bersuara dengan nada sayu. Dia
benar-benar rasa bersalah dengan tindakan terburu-buru ibunya. Bukannya kali
ini ibunya membangkitkan isu ini
malahan sejak lima tahun mereka berkhahwin sudah berkali-kali ibunya bertanya
tentang perkara yang sama. Tapi kali ini agak berbeza kerana ibunya mula
meletakkan syarat. Bagaikan mengambil kesempatan terhadap masalah yang mereka hadapi.
“Kenapa abang nak
mintak maaf? Bukan abang yang salah,” suara Yasmien agak perlahan. Dia juga
sudah kenal dengan sikap ibu mentuanya yang suka mendesak. Namun kata-kata ibu
mentuanya petang tadi membuatkan Yasmien benar-benar tersepit. Hatinya terguris.
“Sayang jangan risau.
Kita ada enam bulan untuk berusaha. InsyaAllah abang percayakan kuasa Allah.”
Kata Fikri bagi menyedapkan hati isterinya. Yasmien terpaku mendengarkan
kata-kata itu. Dia memandang ke arah Fikri.
“Abang, selama ni
kita tak cukup berusaha ke abang? Lima tahun abang. Bukan lima bulan. Tapi tiada hasilnya abang!” Yasmien
seolah-olah melepaskan api kemarahannya yang telah lama disimpan. Nada suaranya
agak tinggi. Kemudian dia berasa sedikit menyesal kerana meninggikan suara
kepada suaminya. Fikri diam seolah-olah memahami gelodak hati isterinya.
“Sayang…” Fikri
cuba menenangkan keadaan .Yasmien memejamkan matanya rapat-rapat. Dia cuba
bertenang dan muhasabah diri.
“Tapi kita hanya
ada enam bulan abang!” Nada suara Yasmien kembali perlahan.
“Kita boleh cuba
macam-macam cara dalam tempoh enam
bulan sayang. Percayalah” Fikri cuba meyakinkan isterinya. Dia dapat rasai
kekecewaan yang bersarang di hati isterinya pada malam itu.
“Sempat ke abang?
Min tak sanggup tengok abang kahwin dengan
perempuan lain.” Yasmien menyuarakan rasa hatinya.
Bagi Yasmien, Fikri
adalah suami yang sempurna. Tiada cacat celanya. Kasih sayang yang dicurahkan
selama ini tidak pernah kurang. Mereka saling cinta menyintai dan sama-sama
mengimpikan kebahagian memiliki zuriat sendiri.
Fikri menghampiri
isterinya dan meletakkan kedua-dua tangannya keatas bahu Yasmien sambil
mengangguk dan tersenyum. Malam itu mereka berdua melangkah memasuki kamar.
Masing-masing berdoa agar niat mereka segera ditunaikan oleh Yang Maha Esa.
Loceng rumah
kedengaran dari dalam. Yasmien pantas mendapatkan Fikri yang masih tercegat
diluar rumah. Yasmien menyambut kepulangan Fikri dari tempat kerja. Seperti
biasa, inilah rutin yang selalu dilakukan oleh seorang suri rumah seperti Yasmien.
Dia mengambil beg kerja suaminya dan diletakkannya di atas sofa terlebih
dahulu. Tiba-tiba mata Yasmien terpandang bungkusan plastik berwarna putih yang
dipegang oleh Fikri.
“Bungkusan apa tu
abang?”Yasmein bertanya untuk mendapatkan kepastian. Fikri menghulurkan
bungkusan tersebut kearah Yasmien. Lama Yasmien merenung bungkusan itu dari
luar tanpa membuka bungkusan kemas itu. Seketika kemudian dia sedikit
tersentak.
“Buah Kurma ke
abang?” Yasmien mengagak.
“Ya lah sayang..Tak
kan tak pernah tengok buah Kurma?”Fikri sedikit memerli. Dia cuba bergurau
dengan isterinya. Fikri menguis pipi isterinya. Yasmien tersenyum lebar. Mereka sama-sama menuju ke dapur.
“Maafla abang, nak
kata masuk bulan Ramadhan tu masih lambat lagi,”Yasmien membalas. Dibukanya bungkusan
berisi beberapa kotak kurma lalu disusunnya satu persatu.
“Yang tu yang
pertama......”balas Fikri lagi. Yasmien mengerutkan dahi. ‘Yang pertama?
Jikalau ini yang pertama yang keduanya apa pula?’ Yasmien berfikir sejenak.
“Apa maksud
abang?”Yasmien kelihatan berminat dengan teka teki yang dimulakan oleh
suaminya. Fikri kemudiannya mengeluarkan satu risalah dari dalam poketnya.
Yasmien menyambut risalah itu tanpa bertanya banyak. Dia meneliti satu persatu
dari setiap perkataan yang terpapar di dalam risalah itu. Dia membaca dengan
sangat tekun.
“Susu Kambing dan
Kurma? Mampu...” kata-kata Yasmien
terhenti disitu. Dia memandang kearah Fikri. Fikri mengangguk faham biarpun
kata-kata Yasmien tidak disambung habis.
“Macam mana nak
amalkan ni? Abang dah selidik ke semua cara-cara penggunaan kaedah ni?”Yasmien
melulu mengeluarkan pertanyaan. Jelas sekali dia kelihatan berminat dengan cara
baru untuk hamil yang baru diketahuinya dari risalah tersebut.
“Caranya senang
sahaja sayang.. Hanya genggam buah kurma dan berselawat Nabi tiga kali.
Kemudian kisarkan buah kurma tadi dan campurkan ke dalam air susu kambing.”
Jelas Fikri panjang lebar. Dia kelihatan bersungguh-sungguh dalam mendapatkan
informasi itu.
“Mana pulak abang
nak cari air Susu Kambing ni?”Yasmien bertanya lagi.
“Adalah sayang.. Abang
dah order. Esok sampai.”jawab Fikri. Perbincangan mereka sememangnya serius
sekali pada kali ini. Fikri sendiri akui sepanjang lima tahun berkhahwin mereka
sekadar berusaha tanpa mengamalkan sebarang pengambilan Vitamin,ubat-ubatan
mahupun rawatan tradisional bagi mendapatkan zuriat. Kesibukan dia dalam
bekerja menyebabkan dia mengalami kekangan masa untuk mencari kaedah-kaedah
tradisional mahupun moden.
Keesokkan harinya
datang seorang lelaki membawa satu kotak sederhana besar dihadapan pagar rumah
mereka. Yasmien yang masih di dalam kamar hanya melihat dari atas suaminya
menguruskan penghantaran air Susu Kambing seperti yag dijanjikan kelmarin. Dia
segera berlari anak menuruni anak tangga.
“Abang!” panggil
Yasmien. Fikri membawa masuk satu kotak yang dihantar tadi lalu diletaknya
dahulu di atas sofa.
“Banyaknya abang? Satu
kotak ni berisi air Susu Kambing?”Yasmien agak tergamam. Tidak dinafikan dia
juga berasa khuatir sekiranya kaedah itu tidak mendatangkan hasil dan yang
berlaku hanyalah pembaziran wang semata-mata.
“Abang nak amalkan dua
kali setiap hari. Min pun kena amalkan. Okay.”Fikri menerangkan. Usahanya kali
ini bukan calang-calang. Kurma yang dibeli juga tidak kurang banyaknya. Itulah
lambang cinta Fikri terhadap Yasmien. Demi merealisasikan impian ibunya yang
benar-benar mengimpikan cucu di samping mengelakkan dia berkhahwin lagi.
Yasmien sekadar akur dengan kata-kata suaminya. Dia hanya mampu berdoa agar
mendapat yang terbaik atas usaha keras itu.
Lima bulan kemudian
“Sayang! Sayang!”
Fikri menggoyang-goyangkan tubuh Yasmien setelah selesai mandi. Tualanya yang
masih basah itu dibiarkan tersepuk di atas lantai. Dia cuba mengejutkan Yasmien
yang masih belum bangun. Jarang sekali isterinya bangun lewat kecuali jika dia
tidak sihat.
“Abang nak pergi
mana ni?” Yasmien cuba membuka mata memandang ke arah Fikri. Yasmin kelihatan
seperti tidak sedar yang sekarang ialah waktu Fikri pergi ke pejabat.
“Pergi kerjalah
sayang! Kenapa ni tak bangun lagi ni? Sayang sakit ke?” Fikri cuba mendapatkan
kepastian. Yasmien sekadar menggeleng. Kepalanya dipegang dan dipicit
perlahan-lahan. Fikri mula tidak sedap hati.
“Sayang! Sayang! Min! Dengar tak ni?” Fikri
menggoncang-goncang tubuh Yasmien. Dia mula panik dengan keadaan Yasmien yang
masih belum mahu bangun dari tidurnya.
Fikri agak celaru
buat seketika. Tidak pernah Yasmien berperangai sedemikian rupa sepanjang enam
tahun hidup bersama. Macam ada sesuatu yang tak kena saja, bisik hatinya. Fikri
menyalin baju kemeja yang dipakainya tadi kepada T-shirt berwarna putih. Dia
ambil keputusan untuk tidak ke pejabat memandangkan keadaan Yasmien yang agak
pelik.
“Eh, abang tak
pergi kerja?” Tiba-tiba Yasmien yang tadinya masih tidur bertanya setelah
menyedari suaminya masih di hadapan cermin kamar beradu mereka. Dahi Yasmien
agak berkerut. Fikri memandang ke arahnya.
“Dah puas tidur?
Lama tau abang tunggu!” Fikri kemudiannya membalas. Suatu jawapan yang tiada
langsung kaitannya dengan soalan yang diajukan oleh Yasmien. Kini Yasmien
semakin aneh. Tiba-tiba dia bangun dengan pantas. Entah apa yang berada di
dalam fikirannya. Gelagatnya hanya diperhatikan oleh Fikri dengan seribu
persoalan.
“Alamak! Baju
kemeja abang yang warna biru tua tu Min belum gosok lagi! I’m so sorry abang!”
Fikri yang masih tercegat disitu hanya melihat telatah isterinya melalui cermin
di hadapannya. Sesekali dia tergelak melihat telatah isterinya yang kelam-kabut
itu. Bukan selalu dia dapat mengenakan isterinya. Fikri akhirnya mendekati
Yasmien perlahan-lahan.
“Kenapa dengan Min
ni? Abang nampak Min gelisah ja. Kenapa ni?” Fikri mengerutkan dahi. Wajah
isterinya ditenung dalam-dalam. Yasmien agak terpinga-pinga. Dia melihat
sekeliling sebelum matanya tertumpu kearah jam yang sudah hampir pukul 9.00
pagi.
“Abang dah lambat
ni. Kenapa masih tak pergi kerja?” Pertanyaan Fikri dibalas pertanyaan. Yasmien
menggaru-garu kepalanya. Rambutnya tidak terurus.
“Abang ingat nak
bawak Min pergi klinik. Min nampak macam tak sihat. Min demam ke?” Fikri
bertanya lagi sambil memegang erat tangan isterinya.
Belum sempat
Yasmien menjawab, telefon bimbit Fikri tiba-tiba berdering. Fikri melihat nama
Rina terpapar di skrin dan terus menjawab panggilan Setiausahanya itu. “Sayang,
abang minta maaf. Rina telefon, ada mesyuarat penting yang abang kena hadir
pagi ni. Abang minta maaf sayang.” Fikri benar-benar rasa bersalah kerana
terpaksa meninggalkan isterinya yang kurang sihat itu. Kebiasaannya dia akan
menemani Yasmien ke klinik sekiranya Yasmien tidak sihat. Yasmien tersenyum
kelat. Dia cuba faham keadaan suaminya di pejabat. Lagi pula, dia juga tidak
meminta untuk ditemani.
“Tak apalah abang.
Min okay. Min yang patut minta maaf sebab terlupa nak gosok baju favourite abang semalam. Min letih sangat.” Kini giliran
Yasmien memohon maaf.
Fikri hanya
mengangguk. Bukan baju itu yang jadi masalahnya kerana masih banyak lagi baju
yang lain yang dibelinya di Paris ketika dia pergi melancong bersama-sama
Yasmien tahun lepas. Fikri kemudiannya mengeluarkan wang sejumlah RM200 lalu
dihulurkan kepada Yasmien.
“Ambil duit ni.
Abang nak Min pergi kilinik. Abang tidak mahu Min sakit. Okay sayang. Nanti
apa-apa hal abang call.” Kata Fikri dengan penuh rasa prihatin. Yasmien tidak
membantah. Dia
sekadar mengangguk dan tersenyum. Yasmien mengucapkan terima kasih dan bersalam
sebelum Fikri pergi ke pejabat.
Beberapa ketika
kemudian, Yasmien cuba untuk bangun dan berdiri. Ternyata, dia hilang keseimbangan
badan secara tiba-tiba. Ya Allah! Kenapa dengan aku hari ni? Yasmien
kehairanan. Walaupun kepalanya sakit bagai dihentak-hentak, Yasmien tidak
mengalah. Digagahinya juga untuk berdiri dan berjalan, namun kepalanya semakin
sakit. Akhirnya Yasmien membuat keputusan untuk berbaring dahulu memandangkan
hanya posisi itu dapat mengurangkan sakit kepalanya yang teramat itu.
3.
Fikri mencapai
fail-fail yang berselerak di atas mejanya lalu menyusunnya di atas rak di ruang
pejabatnya. Dia menarik nafas lega kerana semua tugasnya hampir siap. Mesyuarat
pun sudah selesai. Dia segera
mencapai telefon bimbitnya. Hatinya memang tidak tenteram sejak tadi lagi.
“Hello!
Assalamualaikum, sayang!” Fikri memulakan percakapan. Dia ternyata menelefon
isterinya. Ada sedikit sinar di wajahnya apabila panggilannya dijawab.
“Waalaikumsalam,
abang.” jawab Yasmien ringkas.
“Sayang dah ke
klinik?” Tanya Fikri.
“Alhamdulillah, Min
dah boleh bangun. Abang jangan risau
ya. Sekejap lagi Min pergi klinik!” jelas Yasmien panjang lebar. Fikri menarik
nafas lega apabila mendengar penjelasan isterinya.
“Ok, sayang pergi dulu. InsyaAllah nanti abang
susul. Jaga diri sayang!” Fikri amat mengambil berat tentang Yasmien. Sesungguhnya
hanya Yasmien menjadi pelengkap hidupnya. Dia amat menyayangi Yasmien lebih
dari nyawanya sendiri.
Ya Allah! Engkau
berikanlah kesihatan yang terbaik buat isteriku! Hati kecilnya berbisik
memanjatkan doa kepada Allah sambil turun dari pejabatnya menuju ke tempat letak kereta. Tiada perkara
lain yang berkocak dalam kotak fikirannya melainkan ingin bersama-sama dengan
isterinya di klinik.
Sepanjang
perjalanan, Fikri memikirkan kata dua ibunya. Apa yang akan berlaku selepas enam bulan ini seandainya Yasmien masih
belum hamil? Dia tidak mungkin dapat mengahwini perempuan lain selagi Yasmien
masih ada. Dia amat mencintai Yasmien. Tetapi dalam masa yang sama dia tidak
dapat melawan kehendak ibunya. Jauh sekali untuk menjadi anak derhaka.
Keretanya diperlahankan sebaik sahaja sampai di hadapan Klinik Keluarga. Fikri melihat kereta Vios milik Yasmien terletak
di hadapan klinik. Fikri memberhentikan keretanya tidak jauh dari situ dan
bergegas ke dalam klinik. Hatinya sudah tidak sabar lagi untuk mengetahui
keadaan Yasmien.
“Min!” Fikri
memanggil setelah melihat Yasmien keluar dari bilik doktor. Wajah Yasmien
kelihatan agak sedih dan sayu. Yasmien memandang tepat ke arah Fikri.
“Abang!” Nada suara Yasmien kedengaran sebak sebaik
sahaja mata mereka bertentang. Fikri semakin khuatir melihat keadaan isterinya
pada ketika itu. Fikri pantas mendapatkan Yasmien.
“Min, kenapa ni sayang?”
“Min...Min...”
Suara Yasmien tersekat-sekat. Dia seperti ingin mengkhabarkan sesuatu. Entah
mengapa bagaikan ada sesuatu yang menghalang dia untuk bercakap. Fikri semakin
gelisah. Hatinya berdebar-debar tidak menentu.
“Min mengandung!”
Akhirnya perkataan itu keluar daripada mulutnya walaupun teramat sukar untuk
diucapkan. Yasmien memeluk Fikri. Badannya tampak lemah. Air mata tidak
henti-henti membasahi pipinya. Fikri terkedu dan terdiam. Dia mengamati
perkataan itu dengan penuh teliti.
“Min? Betul ke ni?” Tanya Fikri seolah-olah
tidak percaya. Fikri keilhatan kaget. Air matanya turut bergenang walaupun
bibirnya cuba menguntum senyuman. Yasmien sekadar mengangguk.
“Hmmm... Dah dua
bulan bang!”Yasmien tidak dapat
menahan sebak. Jika dahulu dia menangis kerana belum dikurniakan cahaya mata
tetapi kini air matanya menjadi saksi satu berita gembira. Tetapi tubuhnya tidak dapat ikut merasai detik kegembiraan itu.
Fikri memapah isterinya yang kini amat lemah di
sisinya. Dipimpinnya dengan penuh berhati-hati. Perasaan mereka tidak dapat
digambarkan ketika itu. Masing-masing tidak sabar memberitahu berita baik itu
kepada Puan Zaharah. Akhirnya Tuhan mengabulkan permintaan mereka yang sudah
sekian lama menginginkan zuriat. Fikri tidak henti-henti mengucapkan
Alhamdulillah serta memanjatkan kesyukuran kehadrat illahi atas kurniaan-Nya.
Mereka pulang dengan tangisan kegembiraan. Ternyata usaha mereka selama ini
tidak sia-sia.
“Sayang, abang
bersyukur kerana akhirnya Allah mengabulkan doa kita, sayang. Allah Maha Kaya.
Terima kasih buat sayang sebab berikan hadiah ni buat abang. Inilah hadiah yang
paling berharga yang sudah lama abang tunggu dari sayang.” Fikri membisikkan
kata-kata itu ke telinga isterinya.
Yasmien terus berada di dalam dakapan suaminya. Masih kedengaran suaranya
tersedu-sedan akibat daripada tangisan sejak di klinik tadi.
“Min juga
bersyukur, bang.” Hanya itu yang mampu keluar dari mulut Yasmien.
“Berita gembira ni
patut dikongsi dengan Mama. Abang pasti Mama mesti gembira dengar berita ni”
Sambung Fikri lagi.
Yasmien mula
mengangkat kepalanya dari pelukan Fikri. Ingatannya mula terfikir tentang Puan
Zaharah, ibu mentuanya. Ya! sekaranglah masanya untuk membuktikan dia wanita
normal. Dia boleh hamil seperti wanita-wanita lain juga! Syarat yang dikenakan
oleh ibu mentuanya kini sudah tidak terpakai lagi. Fikri akan tetap menjadi
miliknya! Ternyata berita kehamilan Yasmien telah mengubah kehidupan Puan
Zaharah. Jika dahulu dia banyak menghabiskan masanya terlibat dengan pelbagai
kegiatan di luar, kini lebih banyak masa diluangkan bersama Yasmien. Puan
Zaharah terlalu mengambil berat tentang Yasmien dan kandungannya. Itulah cucu
pertamanya daripada anak tunggalnya. Usianya yang hampir melewati 60-an
menjadikan dia semakin tidak sabar menimang cucu.
4.
“Tahun ni kita akan
sambut raya dengan babylah nampaknya ye, Min? Min kena jaga kesihatan. Tak lama
je lagi cucu Mama akan lahir, Mama tak sabar nak main dengan dia.” jelas Puan
Zaharah panjang lebar. Dia kelihatan gembira sekali apabila bercakap tentang bayi
yang ada di dalam kandungan Yasmien. Jika dahulu dia jarang berbual dengan
menantunya, tetapi kini dialah orang yang paling banyak berkongsi pengalaman
hidup bersama-sama menantunya itu.
Fikri kelihatan
masih segar berbaring sambil membaca surat khabar Mingguan di ruang tamu rumah
mereka. Yasmien kehairanan melihat Fikri
yang masih belum ke pejabat.
“Abang tak pergi
kerja?”tanya Yasmien. Fikri mula menyedari kehadiran isterinya.
“Tak lah! Hari ni
abang ambik MC. Nak jaga Min..”Fikri menjawab sambil tersenyum. Muka Yasmien
berubah. Seharusnya dia menerima berita itu dengan gembira kerana terasa
dihargai,tetapi kali ini reaksinya agak aneh.
“Abang? Apa abang buat ni? Kerja tetap kerjalah abang..”Yasmien mengeluarkan nada kesal.
“Abang? Apa abang buat ni? Kerja tetap kerjalah abang..”Yasmien mengeluarkan nada kesal.
“Sayang.. beberapa
hari lepas abang dapat tau Min pergi klinik seorang diri. Mama pulak ada kerja
di butik. Biarlah abang ambil cuti beberapa hari untuk temankan Min dirumah atau bawakan Min ke Klinik..”Fikri
menjelaskan niat sebenarnya. Tidak lain tidak bukan niatnya kerana ingin
menjaga isterinya yang sememangnya memerlukan permerhatian buat masa sekarang.
Yasmien kelihatan kurang selesa setelah mendengar penjelasan itu.
“Min nak ke mana
ni?’giliran Fikri bertanya setelah menyedari Yasmien tampil agak segak bergaya.
“Abang..Min bukan
tak nak. Tapi Min..”nadanya tersekat. Dia kehilangan ayat untuk meneruskan
kata-kata. Otaknya ligat memikirkan alasan yang sesuai diperkatakan dalam
situasi sekarang.
“Sebenarnya Min dah
lama tak luangkan masa dengan kawan-kawan Min. Sejak hamil kawan-kawan lama nak
sangat berjumpa dengan Min. Jadi, Min dah janji dengan dia orang semua nak
jumpa hari ini. Min harap abang izinkan..”
“Sekarang?”Fikri
bertanya. Yasmien mengangguk lemah. Fikri memandang wajah sayu isterinya.
“Biarlah abang ikut
sekali?”dia bertanya lagi tidak mahu mengalah. Bukannya dia tidak mempercayai
isterinya tetapi dia hanya risaukan keadaan Yasmien yang sedang hamil muda buat
masa sekarang. Sekali lagi Yasmien serba tidak kena.
“Abang? Min dengan
kawan-kawan perempuan Min lah..”jawab Yasmien tanda tidak setuju. Fikri
akhirnya akur dan meminta agar Yasmien menjaga diri sebaik mungkin.
“Maafkan Min
abang..”Yasmien bercakap sendirian ketika memandu. Dia bagaikan sedang bermain
dengan api yang sedang marak. Namun dia hanya memikirkan satu perkara bahawa
niatnya yang sebenar adalah baik.
“Saya harap Puan
buat pilihan yang bijak!”kata Doktor Mariam sambil menyemak rekod nama Yasmien
sebagai pesakit. Wajah Yasmien kelihatan
tenang biarpun sedang menyembunyikan ketakutan
dan serba salah dalam diri. Doktor Mariam menghulurkan sebuah dokumen khas
untuk Yasmien isikan dan tandatangan.
“Tak mengapa
doktor.. Ini pilihan yang saya buat.”balas Yasmien sambil menurunkan
tandatangannya.
Sepanjang di dalam kereta,fikiran Yasmien benar-benar terganggu sehingga dia terpaksa berhenti sebentar di steyen minyak. Tidak dapat dinafikan rasa bersalah dia terhadap Fikri semakin menebal di dalam jiwa. Sedangkan dia tidak pernah bercakap bohong dengan suaminya. Dia kini sedang jauh berubah terpesong dari alam yang nyata. Dia beristighfar sebnayak yang mungkin. Selepas kembali tenang dia memulakan perjalanan pulang ke rumah.
Sepanjang di dalam kereta,fikiran Yasmien benar-benar terganggu sehingga dia terpaksa berhenti sebentar di steyen minyak. Tidak dapat dinafikan rasa bersalah dia terhadap Fikri semakin menebal di dalam jiwa. Sedangkan dia tidak pernah bercakap bohong dengan suaminya. Dia kini sedang jauh berubah terpesong dari alam yang nyata. Dia beristighfar sebnayak yang mungkin. Selepas kembali tenang dia memulakan perjalanan pulang ke rumah.
5.
Hari demi hari keadaan
kesihatan Yasmien amat tidak menentu. Dia sering sakit kepala dan sukar bangun
pada waktu awal pagi. Badannya juga kerap letih dan tidak bermaya akibat tidak
berselera makan. Hanya roti atau biskut sahaja yang mampu ditelannya.
Akibatnya, hubungan mesranya bersama Fikri juga terbatas. Yasmien seolah-olah
bukan Yasmien yang dahulu lagi.
“Tak lama lagi kita
nak sambut Ramadhan, lepas tu raya. Raya tahun ni pasti lebih meriah kan,
sayang?” Fikri cuba mendekati isterinya. Yasmien memuncungkan bibir. Fikri
hanya bersabar dengan sikap isterinya kini. Dia masih ingat kata ibunya
perubahan Yasmien itu mungkin kerana pembawaan bayi. Yasmien tidak melayan
suaminya. Sikapnya semakin dingin, malah kadang-kadang berkasar dengan Fikri.
Namun Fikri masih bertahan kerana memikirkan keadaan Yasmien yang sedang
mengandung anak sulung mereka.
“Abang keluar dulu,
sayang.” Fikri akhirnya beralah dan meminta diri setelah melihat Yasmien tidak
memberi sebarang perhatian kepadanya pada malam itu. Dia berlalu dengan
perasaan sedikit hampa.
“Ya, Ramadhan dah
makin hampir.” Yasmien berbisik perlahan sebaik sahaja Fikri melangkah keluar
dari kamar. Tangannya mengusap kandungannya yang kian membesar.
“Min minta maaf, abang.
Min janji Min tak buat macam ni lain kali..”
“Janji dengan ibu, anak ibu mesti jadi anak
yang soleh. Jangan derhaka dengan ayah ya, sayang.” Yasmien bercakap dengan
bayi yang masih dalam kandungan. Dia kemudiannya mencapai sebotol pil yang
berada di bawah bantal. Dia mengeluarkan dua biji pil dari botol itu lalu
ditelannya bersama air mineral yang sudah tersedia di tepi katil. Setelah itu
dia menarik selimut. Dia kelihatan letih sekali. Matanya dipejamkan
perlahan-lahan dan akhirnya dia terlena pada malam yang masih muda.
Hari berlalu beg itu pantas seperti kilat. Kini Ramadhan
sudah tiba. Umat Islam bergembira menyambut bulan yang penuh berkat ini, tetapi
Yasmein hanya terperuk di dalam bilik menunggu hari. Namun perangai peliknya
semakin menjadi-jadi. Setiap kali waktu makan Fikrilah yang terpaksa membawa
makanan ke dalam kamar serta memberinya makan. Malah pelbagai kerenah Yasmien
terpaksa Fikri hadapi dengan tabah dan sabar demi cinta dan sayangnya kepada
Yasmien..
Hari yang
dinanti-nanti semakin hampir. Yasmien dimasukkan ke Hospital sehari sebelum
melahirkan.
“Sayang, abang akan
setia menunggu sayang di sini. Abang doakan sayang selamat melahirkan baby
kita,” ujar Fikri sewaktu Yasmien ditolak masuk ke dalam bilik pembedahan untuk
bersalin. Fikri mahu Yasmien tahu yang dia amat mencintainya. Dia melihat mulut
Yasmien seperti ingin mengatakan sesuatu kepadanya. Namun suara Yasmien tidak
kedengaran. Fikri menghampirinya namun masih tiada yang keluar dari mulutnya.
Fikri berasa tangan Yasmien yang menggenggam erat tangannya semakin kendur dan
akhirnya terlepas sebaik sahaja troli melepasi pintu masuk bilik pembedahan
itu. Fikri melihat Yasmien semakin jauh meninggalkannya.
“I love you,
sayang.” Fikri mengucapkan lafaz cintanya dengan nada sebak. Entah mengapa dia berasa sangat sayu melihat
keadaan isterinya. Kakinya bagai terpaku di lantai di hadapan pintu bilik bedah
tersebut. Air matanya mulai berderai. Ya Allah, selamatkanlah isteri dan
anakku, desir hatinya penuh harapan.
“Puan Yasmien, awak sudah bersedia?” Tanya doktor. Yasmien
hanya mampu mengangguk lemah. Pandangannya sudah kabur, seluruh bilik bedah itu
kelihatan berputar ligat. Dia cuba membuka matanya tetapi tidak berdaya. Hanya
kedengaran bisikan suara doktor di telinganya.
“Kita doakan yang
terbaik untuk awak, Puan Yasmien. Ini adalah keputusan awak sendiri. Kami akan
cuba sedaya upaya.”
Di luar, Fikri
tidak dapat menahan rasa pilu yang melanda hatinya. Dia cuba melawan tetapi
perasaan itu bergumpal-gumpal menyesak nafasnya. Dia tidak berhenti berdoa agar
Yasmien dan anaknya selamat. Dia membayangkan Aidilfitri yang bakal menjelang
adalah sambutan paling meriah dalam hidup mereka suami isteri bersama zuriat
yang dinanti-nantikan.
6.
Beberapa jam
kemudian, tiba-tiba Fikri terdengar suara tangisan bayi. Dia segera bangun dan
menerpa ke pintu bilik bedah. Ibunya juga meluru kepadanya. Pandangan mereka
bertaut. Ada senyuman di bibir ibunya.
“Tahniah Fiq,” suara Puan Zaharah bercampur
sebak dan gembira. Fikri masih menanti dengan penuh debaran.
“Doktor, bagaimana
dengan isteri dan anak saya?” Fikri tidak sabar ingin tahu tentang Yasmien dan
anaknya sebaik sahaja melihat doktor keluar dari bilik tersebut. Doktor
memandang ke arahnya dengan pandangan yang mengandungi seribu satu makna. Puan
Zaharah mengerutkan dahi tidak sabar menanti jawapan doktor.
“Bayi Encik Fikri
selamat,” jawab doktor itu. Riak wajahnya kelihatan sedikit sugul.
“Macam mana dengan
menantu saya doktor?” Puan Zaharah pantas bertanya. Hatinya menjadi tidak
sabar.
Doktor perempuan
separuh usia itu mengisyaratkan sesuatu kepada Fikri. Mereka beredar ke suatu
sudut yang agak terlindung. Puan Zaharah tidak bergerak melihat gelagat doktor
dan anak tunggalnya itu. Hatinya berdetak kencang.
“Encik Fikri, ini
surat yang diberikan kepada saya oleh Puan Yasmien. Surat ini untuk Encik
Fikri,” ujar Doktor Mariam sambil menghulur sekeping sampul surat kepada Fikri.
Fikri menyambut sampul surat itu sambil menoleh ke arah ibunya. Dia membukanya
perlahan-lahan.
“Kehadapan
suamiku tercinta,
Waktu abang
membaca surat ini, Min sudah tiada lagi di dunia ini. Min minta maaf
sebab terpaksa buat semua ini. Min tahu seandainya Min tidak mampu melahirkan
seorang cucu untuk Mama, abang akan dipaksa berkahwin dengan perempuan lain.
Min tak mampu untuk menyaksikan episod itu berlaku.
Abang, sebenarnya Min mempunyai sejenis
penyakit yang menyebabkan peluang Min untuk hamil sangat tipis. Doktor telah
menasihati Min untuk gugurkan kandungan Min, jika tidak Min terpaksa menanggung
risiko kehilangan nyawa Min sendiri. Tetapi Min berdegil dan tetap mahu terus
mahu mengandungkan benih zuriat abang sehingga melahirkannya ke dunia. Semua
itu Min lakukan dengan kerelaan hati Min sendiri demi cinta Min yang ikhlas
kepada abang dan Mama.
Inilah sahaja yang dapat Min berikan kepada
abang dan Mama. Min harap abang jagalah anak kita dengan penuh kasih sayang
seperti mana kasih sayang yang abang berikan kepada Min selama ini. Inilah
hadiah dari Min yang paling berharga. Semoga Ramadhan dan Aidilfitri kali ini
lebih bermakna buat abang dan Mama.
Min minta maaf sebab sepanjang tempoh Min
mengandung terlalu banyak Min susahkan abang dengan Mama. Min terpaksa lakukan
semua itu supaya abang tidak akan terasa sangat apabila Min sudah tiada. Untuk
yang terakhir kalinya, Min mohon maaf daripada abang dan Mama. Min sangat
sayangkan abang dan Mama.”
Yang ikhlas menyayangi
Yasmien
Lutut Fikri terasa
lemah dan tubuhnya bagai melayang rebah ke lantai. Hanya tangisan yang menjadi
luahan perasaan dukanya. Puan Zaharah memeluk erat anak bongsunya itu sambil
sama-sama menangis semahu-mahunya. Tambahan Pn.Zaharah,kerana terlalu taksub
mahukan cucu dia sedar bahawa dia telah menyebabkan anak tunggalnya
kehilangan permata berharga di dalam
hidup anaknya. Kekesalan menebal di dalam jiwa mereka berdua.
TAMAT.
Penulis: Nur Rahimah Zubaidi (Eyma Zubaidi)
"Sebarang perkara melibatkan copy2/paste2/posting2/sharing2/dll/sila credit/inform terlebih dahulu kepada empunya penulis, tq :)"
No comments:
Post a Comment